Dua lelaki mengaku salah kerana cuai memandu


 

TAWAU: Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas didapati cuai memandu sehingga menyebabkan kemalangan, pada 16 Jun dan 10 Ogos lepas.

Tertuduh Ary Fadzly Faizal, 22, dikenakan denda sebanyak RM6,700, manakala Pared Mappa, 59, pula di hukum penjara dua hari dan denda RM5,300.

Kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mengikut fakta kes, Ary didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 4 pagi di simpang Jalan Dominic dalam daerah Tawau, sebagai pemandu kenderaan.

Ary memandu tanpa cermat menyebabkan kenderaan yang dipandunya terbabas sehingga mengakibatkan kerosakan pada dinding serta pencawang Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di pembahagi tengah jalan.

Sementara itu, Pared pula didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 9.40 malam di Jalan Kuhara berhampiran Taman Fortuna dalam daerah Tawau juga sebagai pemandu kenderaan.

Tertuduh juga memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal yang mengakibat penunggangnya mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh di penjara tidak melebihi 12 bulan dan denda sehingga RM10,000.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dihukum penjara masing-masing lima dan empat bulan jika gagal membayar denda, selain lesen memandu di endos.

Semua pendakwaan berkenaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terbaru Lebih lama