ECoS dan Huawei jalin kerjasama perkukuh sektor tenaga di Sabah

 

ECoS dan Huawei memeterai MoU dalam Persidangan CAFEO ke-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu. 

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) mengumumkan kerjasama untuk memanfaatkan teknologi terkini bagi meningkatkan sektor tenaga tempatan dan mempercepatkan pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui.

Dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang dirasmikan pada Persidangan CAFEO ke-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu, kerjasama itu menggariskan rancangan untuk memupuk bakat tempatan dalam teknologi microgrid, menubuhkan Pusat Inovasi 'Grid Forming' (JIC) yang serba canggih, dan meneroka potensi projek mikrogrid untuk elektrifikasi luar bandar.

Di bawah MoU itu, Huawei Malaysia akan menyediakan latihan teknikal dan mengendalikan bengkel manakala ECoS akan mengenal pasti belia Sabah bagi menjalani latihan khusus dalam pengurusan tenaga dan aplikasi teknologi mikrogrid.

Selain itu, Huawei Malaysia merancang untuk menguji teknologi 'grid forming' yang lebih canggih  (untuk mengurangkan isu kerosakan bagi Tenaga Boleh Diperbaharui Boleh Ubah seperti Solar dan Angin), termasuk membekalkan peralatan untuk menyokong pelaksanaannya. 

Pada masa yang sama, ECoS akan merangka garis panduan dan piawaian kawal selia yang diperlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata kerjasama dengan Huawei Malaysia amat penting untuk meningkatkan sektor tenaga Sabah.

"Kerjasama dengan Huawei Malaysia ini menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan kami ke arah penyelesaian tenaga yang mampan dan inovatif untuk Sabah, termasuk kawasan luar bandar," katanya sambil menambah bahawa usaha kerjasama ini akan melengkapkan belia Sabah dengan kemahiran teknologi dan meningkatkan pembangunan masyarakat di Sabah.

Manakala, Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Kuasa Digital Huawei Malaysia, Chong Chern Peng,  berkata MoU yang terjalin adalah satu permulaan kepada transisi tenaga baru yang mampan untuk masa depan Sabah.

“MoU ini menandakan permulaan perjalanan transformatif ke arah masa depan tenaga yang lebih bersih dan berdaya tahan untuk Sabah.” kata Chong.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dan Ahli Suruhanjaya ECoS, Datuk Nor Asiah binti Mohd Yusof dan Datuk Dr Lawrence Thien Shin Hing.

Terbaru Lebih lama