Edar dadah: 2 lelaki Indonesia berdepan hukuman mati

Dua lelaki warga Indonesia berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini. 


TAWAU : Dua lelaki warga Indonesia berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah, minggu lalu.

Tertuduh, Amriadi, 40, dan Rudi Jalil, 39, dituduh secara berasingan masing-masing di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin dan Majistret Don Stiwin Malanjum dan tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Amriadi, 40, didakwa mengedar 1,541.43 gram dadah berbahaya iaitu methamphetamine dengan cara menyembunyikannya di dalam seluar dalam dan bengkung yang diubah suai di tempat pemeriksaan penumpang Terminal Feri Tawau, kira-kira jam 9.45 pagi, 11 Oktober lalu.

Manakala Rudi Jalil, 39, pula didakwa mengedar 269.61 dadah jenis sama menggunakan modus operandi sama, di Balai Berlepas Terminal itu pada tarikh dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39b(2) akta sama dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta minimum 12 sebatan.

Selain itu, mereka turut didakwa dibawah Seksyen 15(1)(a) ADB atas kesalahan memasukkan dadah kepada diri sendiri.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun dan Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin.

Rudi diwakili peguam Jhassery P. Kang, daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) manakala Amriadi tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 21 November dan 2 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan ujian kimia.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin pada sidang media 14 Oktober lalu dilaporkan berkata, tangkapan ke atas kedua-dua suspek itu dibuat jam 9.45 pagi, ketika hendak berlepas menaiki perkhidmatan feri di Terminal Feri Tawau di sini, untuk ke pelabuhan Nunukan, di Indonesia.

Menurutnya, suspek masing-masing menyembunyikan dadah di seluar dalam dan bengkung yang di ubahsuai selain turut di sembunyikan pada tapak kasut yang di pakai namun berjaya dikesan anggota keselamatan bertugas.

Terbaru Lebih lama