Kredit: Polis Daerah Tawau |
TAWAU: Gara-gara terbabit kes curi telefon bimbit jenis iPhone 13, empat individu termasuk seorang wanita ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku apabila mangsa seorang wanita cuba membuat urusan jual beli telefon bimbitnya kira-kira jam 12.26 tengah malam.
Katanya, salah seorang suspek ingin membeli telefon bimbit milik mangsa yang dimuat naik di laman sosial Facebook dan bersetuju membuat perjumpaan di kawasan sekitar perumahan di Batu 8, Jalan Apas.
“Sebaik tiba, seorang lagi suspek lelaki kemudian menunjukkan bukti transaksi pembayaran yang didakwa dibuat ke dalam akaun ibu mangsa.
“Mangsa menyerahkan telefon bimbitnya memandangkan suspek memberitahu mahu beredar kerana meminjam kenderaan orang lain dan perlu diserah kembali,” katanya.
Menurutnya, suspek turut menunjukkan bukti ‘screenshot’ bahawa suspek telah membuat transaksi pembayaran ke akaun milik ibu mangsa.
“Namun setelah mangsa bertanya kepada ibunya, tiada wang transaksi diterima,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Jasmin berkata, mangsa cuba meminta suspek keluar dari kenderaan untuk mengambil gambarnya sambil memegang telefon bimbit itu.
“Namun suspek memberi alasan pening kepala dan mengandung sebelum pemandu memecut dan melarikan diri dengan telefon bimbit mangsa,” katanya.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan empat suspek termasuk seorang wanita berusia 30 hingga 42 tahun.
Menurutnya, semua suspek ditahan di sekitar bandar Tawau dan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 dipercayai milik mangsa yang curi turut dirampas.
“Semua suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan manakala suspek wanita disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Hasil semakan rekod mendapati, salah seorang suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya.
Jasmin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berurusan dalam jual beli secara dalam talian dan memastikan semua transaksi dilakukan dengan selamat.