Enam sekawan pukul pekerja kedai roti berjaya ditahan


TAWAU: Enam sekawan berusia 18 hingga 37 tahun ditahan polis kerana disyaki memukul seorang pekerja kedai roti dalam kejadian di Batu 3, Jalan Apas, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan memandu kenderaan untuk menghantar pulang rakan sekerjanya di kawasan berkenaan kira-kira jam 11 malam.

Bagaimanapun, katanya, kenderaan dipandu mangsa dibaling dengan objek keras oleh seorang individu yang kononnya mahu melempar ke arah seekor anjing, namun objek itu terkena kenderaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila suspek utama melempar objek keras dan mengenai kenderaan mangsa.

“Suspek kemudian memberikan alasan kononnya mahu melempar objek berkenaan ke arah seekor anjing dan mangsa keluar ingin meminta maklumat diri suspek bagi memudahkan urusan membaiki kerosakan.

“Namun tiba-tiba lima lelaki disyaki rakan suspek datang menyerang mangsa dengan menggunakan objek keras dan tajam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, susulan kejadian itu seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sekitar kampung berkenaan.

“Soal siasat, pasukan polis menahan lima lagi suspek berusia 18 hingga 37 tahun di sekitar lokasi yang sama disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

“Semua suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terbaru Lebih lama