ESSCOM tahan enam individu, rampas RM1.4 juta


TAWAU: Enam individu ditahan dan wang tunai berjumlah RM1,4 juta dirampas dalam satu operasi Jenayah Rentas Sempadan (JRS) di sini, semalam.

Semua suspek berusia antara 40 hingga 47 tahun itu ditahan oleh pasukan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman. 

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, semua individu berkenaan ditahan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 oleh LHDN untuk siasatan lanjut. 


Katanya, turut dirampas beberapa peralatan seperti telefon bimbit, dokumen serta fail-fail berkaitan dalam operasi berkenaan. 

"Selaras dengan kejayaan operasi terhadap sembilan premis di Tawau ini, ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada petugas seramai 84 orang terdiri daripada pegawai dan anggota dari LHDN, PDRM Bukit Aman serta ESSCOM. 

"Objektif utama operasi adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE), selain bertujuan membanteras penyeludupan barang tidak bercukai secara menyeluruh sehingga ke akar umbi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, ESSCOM komited dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya di ESSZONE bagi menyokong pembangunan negara dan pengukuhan sosioekonomi masyarakat berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat Agenda Malaysia MADANI dicapai.

Katanya, ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah. 

"Masyarakat diseru supaya dapat menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian  011-63311072," katanya.

Terbaru Lebih lama