GRS bincang pengagihan kerusi bulan depan

 

 Hajiji, ketika ditemui media selepas Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-39 di Hongkod Koisaan.


PENAMPANG: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan bahawa perbincangan pengagihan kerusi akan diadakan dalam mesyuarat yang dijangka berlangsung bulan depan.

“Ya, kita akan usahakan rundingan itu. Kita akan buat pada bulan hadapan,” jelasnya, merujuk kepada rundingan awal yang dicadangkan oleh pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam semasa berucap sempena Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-39 di Hongkod Koisaan.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah menekankan kepentingan perpaduan antara parti-parti dalam GRS semasa menghadiri perhimpunan tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Menurut beliau, PBS adalah parti berpengaruh di Sabah yang komited kepada perpaduan dalam kalangan gabungan GRS yang berteraskan aspirasi tempatan. 

"Ramai menyatakan bahawa GRS memiliki kekuatan, tetapi fokus utama kami adalah perpaduan antara parti-parti gabungan, termasuk PBS.

"Walaupun begitu, ini tidak bermakna kami menutup ruang untuk bekerjasama dengan parti-parti nasional.

“Kerjasama ini penting untuk mencapai kestabilan politik, supaya kita dapat merancang program pembangunan untuk rakyat, terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan memerlukan pembelaan daripada kerajaan negeri.

Apabila ditanya mengenai pengesahan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya Sabah, Hajiji berkata beliau tidak boleh memberi komen mengenainya kerana itu adalah pandangan Ketua BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Pada masa ini, kita berada dalam kerajaan GRS+PH Plus,” katanya.
Terbaru Lebih lama