Gurauan membawa padah, pemandu lori diperintah jalani 3 bulan khidmat masyarakat

Tertuduh, Sabrie Nulsarie, 39, diperintah menjalani hukuman khidmat masyarakat selama tempoh tiga bulan

TAWAU : Akibat bergurau tak kena pada tempat, pemandu lori diperintah menjalani hukuman khidmat masyarakat selama tempoh 360 jam oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Hukuman itu diputuskan Majistret Don Stiwin Malanjum, terhadap Sabrie Nulsarie, 39, yang mengaku bersalah menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dengan menyebut "mungkin ada bom" di Lapangan Terbang Tawau, Julai lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat itu selama empat jam setiap hari sepanjang tempoh tiga bulan, dengan bon jaminan RM1000  bersama seorang penjamin tempatan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu, didakwa menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam dengan menyebut "mungkin ada bom" di Balai Berlepas Lapangan Terbang Tawau, kira-kira 3.15 petang, pada 15 Julai lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin manakala, tertuduh diwakili peguam Jhessary P. Kang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Berdasarkan fakta kes, semasa melalui pemeriksaan untuk masuk ke Balai Berlepas, tertuduh didakwa secara bergurau menyebut "mungkin ada bom" di dalam beg penumpang wanita warga China yang sedang diperiksa oleh anggota polis bantuan yang bertugas di situ.

Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan tiada apa-apa yang mencurigakan ditemui di dalam bagasi penumpang terbabit dan tertuduh kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.

Terbaru Lebih lama