Guru perlu tingkatkan kualiti pendidikan

 

Nizam merasmikan Majlis Anugerah Gemilang Inspirasi Kurikulum (Anggerik) 2024 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau, di sini, hari ini.


TAWAU: Warga pendidik di daerah ini diminta supaya terus komited dan berusaha lebih gigih bagi memastikan pendidikan di Tawau menjadi yang terbaik di Malaysia.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, guru-guru perlu lebih kreatif dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) supaya ia dilakukan dengan lebih berkesan.

Katanya, komitmen warga pendidik sangat diperlukan bagi memastikan kemenjadian murid terus dibina dengan jayanya selaras dengan hasrat kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Usaha mempertingkatkan kualiti pendidikan adalah sebahagian tugas utama guru bagi menjamin kualiti murid yang dihasilkan pada masa hadapan.

“Justeru, saya berharap mutu pendidikan di daerah ini semakin meningkat serta menjadi yang terbaik bukan hanya di Sabah tetapi di seluruh negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Gemilang Inspirasi Kurikulum (Anggerik) 2024 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau, di sini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tawau Mat Noor Sima.

Mengulas lanjut, katanya, PPD Tawau dilihat terus menunjukkan peningkatan apabila Gred Purata Daerah (GPD) meningkat sekali gus berada di tangga kedua seluruh Sabah.

“Sebagai wakil rakyat di daerah ini berasa bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh PPD Tawau dan akan terus menyokong setiap program yang dianjurkan oleh warga pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Nizam berkata, anugerah Anggerik adalah inisiatif yang baik bagi menghargai warga pendidik yang bekerja keras memastikan kecemerlangan pendidikan di Tawau terus dicapai.

“Saya turut berharap agar anugerah ini menjadi suntikan semangat kepada semua warga pendidikan di Tawau untuk terus berusaha menjadi lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nizam menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan peruntukan terbesar untuk Kementerian Pendidikan iaitu Sebanyak RM64.1 bilion pada pembentangan Belanjawan 2025, Jumaat lalu.

“Peruntukan itu sudah pasti turut digunakan untuk infrastruktur sekolah-sekolah daif terutamanya di negeri Sabah yang memerlukan projek naik taraf.

“Saya berharap sekolah-sekolah daif di negeri ini dapat dinaik taraf dengan segera supaya dapat mewujudkan suasana PdP yang lebih kondusif,” katanya.

Terdahulu, Nizam turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau.

Terbaru Lebih lama