KOTA KINABALU: Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN (AFEO) menganugerahkan Anugerah Felo kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Penganugerahan ini diberikan atas dasar visi dan pemahaman beliau mengenai peranan komuniti kejuruteraan.
Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Pengerusi AFEO dan Presiden Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM), Professor Dr. Jeffrey Chiang Choong Luin di Menara Kinabalu, di sini, pada isnin.
Setiausaha Agung AFEO, Prof. Dr. David Chuah Joon Huang berkata, anugerah itu diberikan kepada individu seperti Timbalan atau Naib Presiden sesebuah negara, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Kementerian dan individu terkemuka dalam kedudukan dan pangkat yang tinggi serta tokoh terkenal di peringkat dunia.
Katanya, ia termasuklah yang telah memberikan sumbangan yang sangat besar dan cemerlang kepada profesion kejuruteraan, institusi dan negara-negara ASEAN.
"Sumbangan Hajiji berimpak kepada pembangunan komuniti, kemajuan ekonomi dan tadbir urus yang berkesan menonjolkan seorang pemimpin yang sangat komited terhadap kebajikan Sabah.
“Tadbir urus yang bijak, dasar-dasar visi serta pemahaman beliau mengenai peranan komuniti kejuruteraan menjadikan beliau calon yang layak untuk diiktiraf di peringkat ASEAN,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya AER, Simon Yeong Chin Chow dan jawatankuasa IEM Sabah yang diketuai oleh Pengerusinya, Mohd Yaakob Jaafar.
Chiang memberi taklimat kepada Hajiji mengenai Persidangan AFEO ke-42 (CAFEO) yang akan dianjurkan oleh Institut Jurutera Malaysia (IEM) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah dari 22 sehingga 24 Oktober.
Bertemakan ‘Mencorakkan Pertumbuhan ASEAN dengan Transformasi Digital, Kejuruteraan Pintar, dan Penyelesaian Hijau’, CAFEO ke-42 dijangka menarik 1,200 hingga 1,500 kehadiran.
Anugerah Felo Kehormat kebiasanya diberikan bersempena dengan majlis pembukaan CAFEO.