Imigresen Sabah usir 70 Pati warga Indonesia

 

Seramai 70 PATI warga Indonesia dihantar pulang, semalam. 


TAWAU: Seramai 70 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan dari Depot Tahanan Imigresen di sini, untuk dihantar pulang ke negara asal, semalam.

Operasi pemindahan itu adalah sebahagian daripada operasi berterusan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah bagi tahanan warga Indonesia dengan kerjasama Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata pengusiran siri ke-17 bagi kategori usir melalui laut itu membabitkan 52 tahanan lelaki dan 17 wanita serta seorang kanak-kanak bersama penjaga berumur antara satu hingga 60 tahun.

"Semua mereka dipindahkan balik ke negara asal melalui Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka di Indonesia menggunakan perkhidmatan feri Francis Express," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, SH Sitti Saleha berkata, semua PATI yang dihantar pulang itu sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Tawau Sabah atas pelbagai kesalahan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan sudah selesai menjalani hukuman.

Jelasnya lagi, pemindahan PATI dilakukan selepas melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses undang-undang negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing.

"Kekerapan program pemindahan tahanan warga Indonesia yang dilaksanakan oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan hubungan kerjasama strategik daripada pihak KRI Tawau khasnya dalam mempercepatkan proses verifikasi dan pengeluaran dokumen Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP)," katanya.

Dalam pada itu tegasnya, JIM Sabah sentiasa komited dalam memastikan aktiviti penguatkuasaan dan program pemindahan tahanan daripada depot di seluruh Sabah ke negara asal dilaksanakan secara agresif dari masa ke semasa.


Terbaru Lebih lama