Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, ketika media selepas merasmikan program "Kita Gempur" di Tawau, hari ini. |
TAWAU : Inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan 'Kita Gempur' diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digerakkan bermula di sini, hari ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia susulan daripada pelancaran program itu oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang melibatkan kebersamaan pelbagai pemegang taruh.
Menurutnya, sebagai permulaan sebanyak 99 syarikat yang juga rakan strategik KPDN dan pemegang Lesen Bagi Barang Kawalan Berjadual (CSA) sekitar daerah Tawau telah menzahirkan komitmen bersama bagi menyokong inisiatif berkenaan.
Antara yang terbabit ialah syarikat pengangkut (30) di bawah Program Barang Perlu; pengusaha stesen minyak (29); pemborong dan peruncit (21); syarikat pembungkus minyak masak (7); serta 17 wakil pengguna setempat.
"Syarikat ini kita tuntut, jemput dan minta komitmen daripada mereka yang merupakan salah satu komponen penting dalam rantaian bagi memastikan barang-barang kawalan dan bersusbsidi sampai kepada golongan sasar.
"Sebagai perintis program di Tawau hari ini, sebanyak 99 syarikat pemegang lesen CSA telah memberikan komitmen akan bersama-sama menjayakan 'Kita Gempur' sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain seluruh negara.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kita Gempur @Tawau, di perkarangan Parkir Pasar Sentral, Bandar Sri Indah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, merangkap Adun Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Adun Balung Datuk Hamild Awang, Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin, Pengarah Kanan, Sektor Barang Kawalan Dan Subsidi KPDN, Datuk Dr Stanley Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC), Iskandar Ismail, Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan program 'Kita Gempur' adalah inisiatif kerajaan terajui KPDN untuk melibatkan semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemain indistri dan orang ramai dalam usaha membanteras penyelewengan barang kawalan dan barang kawalan bersusbsidi, serta manipulasi aktiviti perniagaan termasuk penipuan dalam talian dan pakatan kartel.
"Kita akan perluaskan gerakan ini dengan mendapatkan komitmen daripada semua pemegang Lesen (CSA) di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Penglibatan syarikat-syarikat pengangkut dalam gerakan massa ini penting untuk memastikan pergerakan bekalan barang kawalan dan bersubsidi sampai kepada golongan sasar.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk orang awam supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang bentuk aktiviti penyelewengan dan penyeludupan kepada pihak berkuasa.