KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) semasa Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas.
Jelas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Datuk Armizan Mohd Ali, inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu dikenali sebagai KITA GEMPUR, yang bertujuan membanteras manipulasi dalam aktiviti perniagaan serta ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi.
"ini termasuk usaha mengekang penipuan perniagaan termasuk e-dagang, monopoli bermasalah, serta kewujudan kartel yang melibatkan pakatan harga dan penipuan bidaan.
"Selain aspek penguatkuasaan, gerakan ini juga memfokuskan kepada advokasi pengguna serta perniagaan yang patuh etika melalui kempen Biz-Berkat," kata Armizan.
Tambah Armizan lagi, gerakan KITA GEMPUR turut melibatkan kerjasama antara pelbagai pihak.
"Ia meliputi (K) agensi Kerajaan, (I) pemain Industri, (T) pematuhan Tatakelola dan (A) partisipasi awam serta penglibatan awam bagi memastikan penguatkuasaan lebih bersepadu.
"Dalam usaha memaksimumkan penglibatan awam, kod QR KITA GEMPUR akan dipaparkan di pasar raya, premis perniagaan, dan stesen minyak bagi memudahkan orang ramai melaporkan sebarang salah laku secara terus.
“Kerajaan komited dalam melibatkan seluruh rakyat untuk bersama-sama menangani manipulasi serta ketirisan, dan inisiatif ini adalah langkah penting dalam memastikan barangan kawalan dapat terus dipantau dengan lebih telus,” tambahnya lagi.
Inisiatif KITA GEMPUR diharapkan dapat memperkasakan rakyat dalam membanteras aktiviti perniagaan yang merugikan negara dan rakyat.
Bagi memudahkan orang ramai menyalurkan aduan, KPDN telah menyediakan beberapa saluran rasmi termasuk WhatsApp (019-848 8000), talian hotline 24 jam (03-8882 6088 / 6245), serta saluran aduan #HapusKartel yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada pautan://www.mycc.gov.my/e-aduan.