Isu perumahan generasi kedua Felda Umas perlu diselesaikan segera

 

Andi dalam sesi ‘Town Hall’ di Dewan Semai Bakti, Felda Umas, di sini hari ini.

KALABAKAN: Kerajaan diminta supaya membantu menyelesaikan isu pemilikan perumahan generasi kedua Felda peringkat Gugusan Umas yang sudah dirancang sejak sekian lamanya.

Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, isu ini sudah lama dibangkitkan dan sehingga kini tidak dapat diselesaikan walaupun pengerusi Felda silih berganti.

Katanya, generasi Felda Umas sudah semakin bertambah dan terdapat keperluan mendesak untuk pembinaan perumahan generasi kedua seperti yang dirancang.

“Kita mendapat makluman bahawa majlis pecah tanah sudah dilakukan sejak sekian lama, namun sehingga kini projek itu tidak dilaksanakan dan menjadi bebanan kepada golongan berkenaan.

“Justeru, kita memohon supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melihat keperluan perumahan generasi kedua ini dan menyelesaikannya dengan secepat mungkin,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian ketika hadir dalam sesi ‘Town Hall’ di Dewan Semai Bakti, Felda Umas, di sini hari ini.

Program yang turut dihadiri ADUN Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg. Amir dan Pegawai Daerah Kalabakan, Muhammad Haji Mohd Ali itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan.

Menurutnya, banyak rungutan diterima daripada peneroka di sini berkaitan isu ini, malah ramai yang menyalahkan pihak pengurusan Felda kerana gagal menyelesaikan masalah berkenaan.

“Kita difahamkan pihak Felda tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan perancangan perumahan generasi kedua ini.

“Untuk makluman tanah untuk pembinaan rumah berkenaan sudah tersedia dan mereka memerlukan dana bagi membina rumah generasi kedua ini,” katanya.

Suryady berkata, pihaknya akan membawa isu ini dalam Dewan Rakyat yang bermula 14 Oktober depan supaya mendapat perhatian Perdana Menteri dan kementerian berkaitan.

“Saya berharap belanjawan yang diumumkan nanti dapat memberikan peruntukan khas untuk golongan peneroka Felda terutamanya menyelesaikan isu perumahan generasi kedua,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, banyak lagi isu-isu yang dibangkitkan oleh golongan peneroka Gugusan Umas dalam sesi ‘Town Hall’ berkenaan.

“Peneroka turut membangkitkan isu pelupusan hutang yang masih menjadi tanda tanya, pemilikan tanah geran, pendidikan anak-anak peneroka dan banyak lagi.

“Semua isu yang dibangkitkan itu dilihat sangat relevan dan mencengkam kehidupan para peneroka untuk meneruskan kehidupan mereka di Felda Umas ini,” katanya.

Sementara itu, Suryady berkata, beberapa keputusan telah dicapai terutamanya perkara-perkara kecil dalam sesi ‘Town Hall’ ini, namun masih memerlukan bantuan pihak pengurusan Felda Umas.

“Saya berharap melalui sesi ini, semua isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan sebaiknya walaupun memerlukan sedikit masa,” katanya.
Terbaru Lebih lama