JIM Sabah usir 650 PATI Filipina ke negara asal


Pendatang Tanpa Izin (PATI) dihantar pulang dengan menaiki kapal MV Antonia 1


SANDAKAN: Seramai 650 Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang melibatkan 565 lelaki, 50 wanita, 34 Kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan seorang bayi berumur 23 bulan ke bawah yang diiringi ibubapa serta penjaga masing-masing dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan dengan menaiki kapal MV Antonia 1 ke Bandaraya Zamboanga.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia (Operasi) Jafri Embok Taha, berkata kesemua PATI yang dihantar turut melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Papar.

"Pecahan tahanan yang dihantar pada petang ni adalah melibatkan tahanan lelaki dewasa seramai 565 orang, tahanan wanita dewasa 50 orang, kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke bawah 34 orang dan kanak-kanak yang berumur 23 bulan ke bawah.

"Kalau kita lihat umur yang terlibat dalam pemindahan ini adalah dalam lingkungan satu tahun sehingga yang paling tua 82 tahun laa dan kanak-kanak yang terlibat dalam penghantaran pulang ini adalah bersama ibu bapa mereka" beliau berkata demikian pada sidang media semasa meninjau proses penghantaran pulang PATI berkenaan di Pelabuhan Sandakan.

Mengulas lanjut, Jafri berkata sehingga 3 Oktober 2024 seramai 3,418 orang tahanan warganegara Filipina telah dihantar pulang bagi tahun 2024 melibatkan pengangkutan laut dan udara menjadikan jumlah besar seramai 5,713 orang warganegara asing dipindahkan.

Menurutnya, kesemua PATI melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 / 63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan hukuman yang dikenakan juga adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar ke negara asal dikenakan.

Kekerapan program pemindahan tahanan warganegara Filipina yang dilaksanakan oleh JIM Sabah juga adalah tertakluk dengan kerjasama daripada pihak Kedutaan Filipina dalam mempercepatkan proses dokumentasi, kata beliau.

Dalam pada itu, Jafri memuji kerjasama kedutaan lain, khususnya Indonesia yang menyediakan pengangkutan udara bagi penghantaran warganya yang rentan dan warga emas.

"Seperti Indonesia dan juga Myanmar kerjasama yang diberikan amat memuaskan laa mereka memberikan kerjasama yang baik terhadap usaha kita untuk memindahkan warganegara mereka kembali ke negara asal makna penyediaan travel dokumen mereka dapat disediakan dalam masa yang agak cepat ya dan begitu juga kalau di Kedutaan Indonesia, mereka menyediakan pengangkutan melalui udara untuk menghantar pati-pati daripada negara mereka terutama yang melibatkan pati-pati golongan rentan seperti warganegara yang sudah uzur, tua dan mempunyai penyakit yang serius, mereka telah memberikan kerjasama dengan menyediakan pengangkutan udara"

Beliau juga turut mengingatkan majikan di Sabah untuk sentiasa memastikan semua pekerja asing mempunyai pas kerja yang sesuai dan individu yang memegang Pas Lawatan Sosial (PLS) bagi tujuan melancong turut diingatkan supaya tidak menyalahgunakan pas bagi tujuan lain, yang boleh menyebabkan mereka didakwa serta disenarai hitam untuk masuk semula ke Sabah dan Malaysia.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI selaras dengan dasar serta perundangan yang berkuatkuasa.


Terbaru Lebih lama