PELBAGAI jenama rokok dan minuman keras yang berjaya dirampas JKDM Sabah. |
KOTA KINABALU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai RM2.8 juta dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang baru-baru ini.
Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang, kejayaan ini adalah hasil kolaborasi strategik antara unit-unit di JKDM Zon Sabah.
"Kes pertama melibatkan rampasan rokok bernilai lebih 2juta ringgit pada 26 September lepas, apabila sepasukan pegawai JKDM menyerbu sebuah stor tidak bernombor di Kampung Hubah, Penampang.
"Hasil serbuan pihak JKDM menemui 214,000 bungkus rokok tidak berkastam, dengan nilai anggaran cukai sebanyak RM2.8 juta. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Manakala kes kedua melibatkan rampasan minuman keras tak berkastam di Kota Kinabalu pada 30 September lepas.
Tiga serbuan dijalankan di sekitar Kota Kinabalu, yang melibatkan rampasan minuman keras di tiga premis di Bandaran Berjaya.
"Dalam kes pertama, pegawai kastam menemui 429 tin minuman keras dengan nilai cukai RM2,185.73 dan menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 61 tahun.
"Di premis kedua, 8 karton minuman keras bernilai RM833.50 dirampas, dan seorang wanita berusia 41 tahun turut ditahan.
"Serbuan ketiga pula melibatkan rampasan 8 karton minuman keras dengan nilai cukai RM930.44, dan seorang wanita berusia 50 tahun ditahan. Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Seterusnya, kes ketiga melibatkan lori bawa minuman keras tak berkastam pada 1 Oktober yang lepas.
Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu, bersama Pasukan Cobra, berjaya menahan tiga lori yang membawa minuman keras jenis bir bernilai RM228,479.50 di sebuah syarikat pengangkutan di Jalan Sepanggar.
"Kesemua lori dan minuman keras tak berkastam dirampas, dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967," ujarnya .
Siti turut menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan dan JKDM berjanji untuk merahsiakan identiti pemberi maklumat bagi memastikan keselamatan pengadu.
"Kerjasama awam amat penting dalam memerangi penyeludupan, yang bukan sahaja menjejaskan hasil negara tetapi juga mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, sebarang aduan mengenai sebarang aktiviti penyeludupan boleh di salurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855." katanya.