Joniston suara kebimbangan runtuhan tanah di Kiulu jejas ekonomi, pelancongan

 

Joniston, ketika membuat lawatan di Jalan Tamparuli-Kiulu. 

KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai menyuarakan kebimbangan terhadap kesulitan dan impak ekonomi akibat kekerapan berlaku runtuhan tanah di sepanjang jalan utama di Kiulu.

Dua jalan utama yang terjejas teruk akibat tanah runtuh adalah Jalan Tamparuli-Kiulu berhampiran Kampung Malangang dan Jalan Kiulu-Lawa Mandau berhampiran Pekan Kiulu. 

Ketika membuat lawatan tapak bersama kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR), pernilaian kerosakan yang berlaku di Jalan Tamparuli-Kiulu adalah besar, dan pembaikan dijangka mengambil masa lebih dua minggu. 

Joniston mengatakan beliau telah menghubungi Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmy Yahya bagi mempercepatkan kerja pembaikan tersebut.

"Saya berterima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri kerana mengambil perhatian terhadap kebimbangan kami dan merujuk perkara itu kepada JKR untuk tindakan," kata Joniston.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada JKR Daerah Tuaran kerana bertindak proaktif dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya. 

Menurut Joniston, tindakan segera diperlukan untuk memulihkan akses jalan serta menyokong ekonomi tempatan, khususnya industri pelancongan, yang telah mengalami kerugian lebih RM200,000 akibat pembatalan tempahan.

“Pengusaha pelancongan di Kiulu mengalami kemerosotan yang ketara, kerana ejen pelancongan telah mengkategorikan kawasan itu sebagai berisiko tinggi berikutan tanah runtuh. 

"Pembatalan telah menjejaskan pelbagai aktiviti luar, dan jika pembaikan tidak diselesaikan dengan segera, kerugian kewangan boleh menjadi bertambah teruk," katanya.

Joniston turut menggesa JKR dan kontraktor konsesi supaya sentiasa memantau jalan raya di Kiulu bagi membolehkan tindakan segera jika terdapat tanda-tanda potensi tanah runtuh atau pemendapan.

“Ini bagi mengelak kejadian selanjutnya dan memastikan keselamatan penumpang khususnya pelajar,” katanya sambil menekankan keperluan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan kerajaan bagi mengurangkan kesannya.

Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Mejin Maginggow, turut menyuarakan kebimbangan terhadap kerugian yang semakin meningkat bagi industri pelancongan di kawasan itu, yang bergantung kepada aktiviti berasaskan alam semula jadi.

Terbaru Lebih lama