Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul. |
LAHAD DATU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lahad Datu sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan berlaku fenomena air pasang tahap ekstrem di daerah ini.
Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul berkata, fenomena itu dijangka berlaku di beberapa kawasan di daerah ini bermula esok.
Katanya, ia berikutan kenyataan yang diterima daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melalui laman web rasmi mereka mengenai fenomena berkenaan, semalam.
“Bagi memastikan keselamatan penduduk, Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB) Lahad Datu telah diaktifkan sebagai langkah awal persediaan bagi sebarang kemungkinan akibat fenomena ini.
“Penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko khususnya di perkampungan atas air dinasihatkan supaya peka dan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, penduduk juga dinasihatkan supaya memantau perkembangan terkini melalui saluran rasmi dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya memerlukan bantuan kecemasan.
“PKOB Daerah Lahad Datu boleh dihubungi di talian 089-880991 bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut.
“Dengan slogan ‘Sedia Pantas, Berintegriti’, pihak JPBD Lahad Datu akan sentiasa bersiap sedia untuk memberi bantuan segera kepada penduduk yang memerlukan,” katanya.
Terdahulu, antara kawasan tumpuan ialah Kampung Silam, Kampung Air @ Puyut, Kampung Sabah Baru, Kampung Desa Bajau, Kampung Dasar Baru, Kampung Tanjung Paras, Kampung Taruakan, dan Kampung Lok Bikin.