Kebakaran membabitkan satu blok rumah kongsi pekerja di Balung Kokos, Tawau. |
TAWAU: Satu lagi kejadian kebakaran berlaku hari ini di daerah Tawau membabitkan satu blok rumah kongsi pekerja di Balung Kokos, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, tiga keluarga yang mendiami rumah kongsi pekerja berkenaan terpaksa tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.06 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dengan empat buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi memadam kebakaran.
“Pasukan bomba mendapati satu blok rumah kongsi pekerja tiga pintu musnah terbakar dan operasi terus dijalankan supaya api tidak merebak ke kawasan lain.
“Operasi pemadaman menggunakan dua pancutan dari sumber air jentera bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini tiada laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa yang berlaku terhadap mangsa dalam kejadian berkenaan.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.23 pagi.
“Siasatan lanjut akan dijalankan oleh pasukan forensik BBP Tawau bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian mangsa,” katanya.