KENINGAU– Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) dan secara rasmi memberi pengiktirafan terhadap penganjuran Keningau Premier League (KPL) 2024/2025 yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Daerah Keningau (Keningau FA).
Kejohanan Bolasepak 11 Sebelah itu bakal berlangsung bermula Oktober 2024 hingga Februari 2025 ini bertujuan untuk mempromosikan sukan bola sepak, mencungkil bakat muda, serta memperkukuhkan perpaduan komuniti setempat di Keningau.
SAFA memuji inisiatif Keningau FA dan yakin bahawa KPL akan menjadi pentas penting untuk mengembangkan bola sepak di Negeri Sabah, dan penganjuran ini dijangka memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat dan membuka ruang bagi pemain-pemain berpotensi untuk diketengahkan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.
Menurut Pengerusi Keningau FA, Rafie Robert, pihaknya amat berbesar hati dan bersyukur atas pengiktirafan rasmi yang diberikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) terhadap penganjuran Keningau Premier League (KPL) 2024/2025.
"Pengiktirafan ini adalah satu pencapaian besar bagi kami, dan ia mengukuhkan lagi keyakinan kami untuk menganjurkan kejohanan yang berkualiti tinggi di peringkat daerah.
"Kami berharap KPL 2024/2025 akan berjalan lancar dan mencapai objektifnya, bukan sahaja dalam melahirkan pemain berbakat tetapi juga dalam meningkatkan minat dan kecintaan terhadap bola sepak di Keningau dan Sabah secara keseluruhan," jelas Rafie
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut memberikan sokongan dan memuji komitmen pihak penganjur serta menyatakan tiada halangan terhadap penganjuran KPL 2024/2025.
FAM turut memberikan kebenaran kepada pihak Keningau FA untuk menggunakan logo FAM bagi tujuan promosi kejohanan.
Dalam kenyataan tersebut, FAM turut menekankan kepentingan keselamatan bagi pasukan, pegawai, dan pemain yang menyertai kejohanan ini. Mereka berharap pihak penganjur memberi perhatian penuh kepada aspek ini untuk memastikan kejohanan berjalan lancar dan selamat.
Dengan sokongan penuh dari SAFA dan FAM, KPL 2024/2025 dijangka menjadi salah satu kejohanan penting di Sabah, bukan sahaja mempromosikan bola sepak tetapi juga memperkukuhkan perpaduan komuniti.