KOTA KINABALU– Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuh tadbir urus, integriti, dan antirasuah melalui pelaksanaan Aspirasi Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) yang diperkenalkan tahun lalu.
Inisiatif ini bertujuan untuk menjadikan Sabah sebagai pelopor dan penanda aras dalam pengurusan GIA di peringkat nasional.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Integriti
dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) telah melaksanakan pelbagai usaha strategik
untuk memastikan hala tuju GIA tercapai.
"Antara usaha strategik yang dilaksanakan adalah memastikan 132 agensi Kerajaan Negeri, termasuk kementerian, jabatan, pejabat daerah, dan Badan Berkanun Negeri, berjaya membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP)," kata Hajiji ketika merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemantauan dan pelaporan
status pelaksanaan inisiatif-inisiatif OACP dijalankan secara maya melalui
Sistem i-Dashboard dan i-DO. Malah, Unit Integriti dan Governans juga
telah ditubuhkan di Syarikat Berkepentingan Kerajaan melalui Arahan Ketua
Menteri No. 1 Tahun 2023.
Selain daripada usaha OACP, Kerajaan Negeri juga
memperkenalkan dua Pekeliling Integriti Perkhidmatan Negeri Sabah (PIPANS) yang
menekankan penubuhan Unit Integriti di Perkhidmatan Awam Negeri dan Pihak
Berkuasa Tempatan. Sistem aduan turut dinaik taraf kepada Sistem i-Adu 2.0 yang
lebih mesra pengguna dan efektif dalam menyelesaikan aduan-aduan kompleks.
"Sebanyak 44 pegawai Kerajaan Negeri, termasuk pegawai
dari Syarikat Berkepentingan Kerajaan, telah ditauliahkan sebagai Pegawai
Integriti Bertauliah (CeIO), yang akan memacu usaha-usaha GIA di negeri
ini," tambah Hajiji.
Dalam usaha memperkukuhkan penghayatan integriti, Sabah
menjadi Kerajaan Negeri pertama yang mewajibkan Lagu Integriti dimainkan dalam
semua majlis rasmi kerajaan.
Hajiji turut memaklumkan bahawa sebanyak 10 minggu integriti
telah berjaya dilaksanakan di kementerian dan jabatan negeri, melibatkan semua
penjawat awam serta syarikat berkepentingan kerajaan.
Kerajaan Negeri juga mewajibkan semua agensi mewujudkan
sudut digital GIA di laman web rasmi masing-masing sebagai langkah meningkatkan
kesedaran mengenai tadbir urus dan integriti.
Selain BIGoNS, usaha pengukuhan tadbir urus turut disokong
oleh agensi lain seperti Bahagian Audit Dalam yang telah dinaik taraf kepada
Jabatan Audit Dalam di bawah Jabatan Ketua Menteri.
Manakala, Kementerian Kewangan Negeri pula menubuhkan
Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan untuk memantau prestasi Syarikat
Berkepentingan Kerajaan berprestasi rendah.
Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP), di bawah
Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, juga mencatat sejarah sebagai institusi
pertama di Malaysia yang melaksanakan Modul Integriti dan Antirasuah sebagai
subjek wajib bagi pelajar TVET.
Hajiji menegaskan bahawa komitmen pengurusan tertinggi
adalah kunci utama kejayaan pengurusan GIA di Sabah.
"Dengan sokongan semua pihak, Sabah akan terus menjadi
peneraju dalam usaha memastikan integriti dan antirasuah diutamakan dalam
tadbir urus negeri," katanya.