Kerajaan Sabah beri perhatian terhadap bahasa dan sastera

Mohd Arifin dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, pada Khamis.


KOTA KINABALU– Kerajaan Sabah sentiasa komited dalam memperkukuh bahasa dan sastera sebagai elemen penting dalam membentuk peribadi serta tamadun bangsa di negeri ini, ujar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di sini, Khamis lalu. 

Beliau menegaskan bahawa walaupun penguasaan pelbagai bahasa adalah penting, pemartabatan bahasa kebangsaan tidak boleh diabaikan.

“Saya berharap rakyat akan terus mengutamakan bahasa kebangsaan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk paparan di tempat awam, komunikasi dan dokumentasi di institusi kewangan, perbankan, iklan, pasar raya, projek-projek pembangunan, projek komersial, taman perumahan, institusi pendidikan dan sektor kerajaan,” kata Hajiji dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, pada Khamis. Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji turut memuji usaha DBP Cawangan Sabah dalam memperkenalkan kosa kata bahasa sukuan negeri Sabah, yang kini dimasukkan sebagai entri dalam Kamus Dewan.

Menurut beliau, anntara kosa kata yang diperkenalkan termasuklah perkataan ‘kerop’ dari bahasa Kadazan yang bermaksud bulu mata palsu dan ‘meridap’ dari bahasa Bajau yang bermaksud tidur sebentar.

"Kita berasa bangga kerana turut menyumbang ke arah memperkasa kosa kata bahasa kebangsaan.

Masih banyak kosa kata etnik yang boleh diketengahkan lagi memandangkan Sabah mempunyai 35 etnik dan 217 sub-etnik yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa,” katanya.

Katanya, beliau berharap agar lebih banyak usaha dilakukan untuk memperkenalkan kosa kata daripada etnik lain di Sabah dan dimasukkan ke dalam Kamus Dewan.

Menurutnya, Bulan Bahasa Kebangsaan adalah inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan kecintaan rakyat terhadap bahasa kebangsaan melalui pelbagai program yang dirancang.

Hajiji turut menekankan bahawa memperkasakan bahasa kebangsaan adalah sebahagian daripada usaha mendukung Perlembagaan Negara yang memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Program itu merupajan platform untuk mendidik masyarakat berbilang bangsa agar dapat memartabatkan bahasa kebangsaan yang sejak sekian lama telah berperanan penting sebagai bahasa ilmu, bahasa pengantar pendidikan, bahasa perpaduan dan bahasa kemajuan bangsa,” ujarnya.
Terbaru Lebih lama