Kerajaan Sabah sokong penuh objektif kemajuan kejuruteraan

Menteri Kewangan Sabah pada majlis penutupan Persidangan ASEAN Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan (CAFEO 42) di Pusat Konvensyen Sabah (SICC), semalam. 

KOTA KINABALU– Sabah terus komited dalam memperkukuhkan kemajuan kejuruteraan melalui penggunaan teknologi digital serta mempraktikkan amalan mampan untuk melindungi alam sekitar demi generasi masa hadapan.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bidang kejuruteraan bukan hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur, tetapi juga perancangan untuk masa depan yang lestari.

“Sabah, seperti banyak wilayah lain di ASEAN, sedang mengalami pembangunan pesat. Infrastruktur, ekonomi dan industri kita amat bergantung kepada kepakaran jurutera yang mampu menyelesaikan cabaran unik yang kita hadapi.

“Daripada membina infrastruktur yang lebih berdaya tahan kepada menggalakkan amalan mampan, jurutera adalah nadi usaha kami untuk menjamin masa depan yang makmur untuk Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya melalui teks yang dibacakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada majlis penutupan Persidangan ASEAN Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan (CAFEO 42) di Pusat Konvensyen Sabah (SICC), semalam.

Hajiji berkata kejuruteraan memainkan peranan penting dalam misi Sabah menjadi hab logistik dan infrastruktur di rantau ASEAN melalui pergerakan barangan, perkhidmatan dan penghasilan bakat.

"Komitmen negare kita untuk mengembangkan infrastrukturnya, sama ada melalui sambungan jalan raya, pelabuhan, atau digital, akan membolehkan kita mengukuhkan hubungan kita dalam Malaysia dan rantau ASEAN yang lebih luas," katanya sambil menambah bahawa kerjasama yang dibentuk di CAFEO 42 boleh membantu memacu Sabah ke arah menjadi pemain utama dalam kisah pertumbuhan ASEAN.

Hajiji berkata Sabah sentiasa terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kekayaan warisan serta budaya, tetapi ia kini juga merupakan kuasa ekonomi yang sedang pesat membangun dalam Malaysia dan ASEAN.

“Malah, Sabah kini merupakan salah satu daripada enam penyumbang utama, menyumbang 5.5 peratus kepada KDNK Malaysia pada 2023.

"Sesungguhnya, ini adalah bukti pengaruh ekonomi kami yang semakin meningkat dan sejajar dengan matlamat kami yang lebih luas untuk membangunkan Sabah, seperti yang ditunjukkan dalam pembangunan kami pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)." katanya.
Terbaru Lebih lama