Keunikan etnik di Sabah perlu diperkasa elak pupus ditelan zaman

 

Nizam(tengah) pada majlis perasmian Pesta Salag di Dewan Perdana, Lahad Datu. 

LAHAD DATU: Budaya kepelbagaian etnik di Sabah perlu terus diperkasa supaya tidak terpinggir dalam arus kemodenan teknologi masa kini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah yang terdiri daripada 35 etnik dan 217 sub etnik perlu diperkasa supaya terus dikenali dan dihayati oleh generasi muda selaku generasi penerus adat.

Hajiji berkata, seperti penganjuran Pesta Salag yang dianjurkan oleh Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS), ia dilihat dapat memperkasa adat, budaya dan bahasa ibunda etnik di negeri ini.

Katanya, walaupun perayaan Pesta Salag ini berkait langsung dengan adat dan budaya etnik Idahan, namun ia diraikan bersama dengan etnik-etnik lain yang terdapat di Lahad Datu.

“Ini membuktikan bahawa rakyat Sabah daripada pelbagai suku kaum, etnik budaya dan agama terus mempertahankan perpaduan, keamanan serta keharmonian yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

“Saya percaya ia akan dapat mengimbangi sektor pelancongan menerusi persilangam budaya, adat, bahasa sukuan, seni, peralatan muzik tradisional, makanan tradisi, permainan tradisi dan pakaian etnik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pesta Salag di Dewan Perdana, di sini, semalam. Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Hajiji turut menyarankan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Lembaga Pelancongan Sabah agar mengambil inisiatif mengenal pasti etnik di Sabah yang kaya dengan budaya dan adat resam yang unik.

“Kita mahukan keunikan etnik-etnik di negeri ini dapat diangkat warisan budaya mereka agar terus dikenali dan tidak pupus begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Nizam ketika ditemui berkata, beliau percaya sekiranya Pesta Salag ini disusun dengan teratur, ia mampu menjadi perayaan yang menjadi identiti Lahad Datu.

Katanya, sejarah dan warisan suku kaum Idahan boleh menarik minat bukan sahaja pengunjung daripada dalam negara tetapi boleh menarik minat pengunjung daripada luar negara.

“Ia sudah pasti akan menjadi satu tarikan khususnya kepada industri pelancongan di kawasan Lahad Datu, sekali gus mendorong limpahan ekonomi yang baik untuk masyarakat yang ada di daerah ini.

“Justeru, saya berharap agar Pesta Salag ini dapat diadakan lebih baik dan lebih besar pada masa-masa akan datang,” katanya.

Presiden PEIS, Abdul Karim Dakog pula berkata pesta ini diilhamkan dari kegiatan menuai sarang burung oleh pewaris-pewaris sarang burung dari kalangan etnik Idahan.

Katanya, objektif penganjuran Pesta Salag ini adalah bagi memelihara budaya, adat dan amalan tradisi unik etnik Idahan berkaitan sarang burung yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Pesta ini juga dianjurkan bagi mempromosikan industri pelancongan, kesenian dan kebudayaan tempatan di Sabah, khasnya daerah Lahad Datu serta membantu merancakkan ekonomi daerah. 

“Kami berharap agar pesta ini dapat dijadikan satu sambutan tahunan yang juga dikenali sebagai identiti daerah Lahad Datu,” katanya.

Terbaru Lebih lama