KKM tubuh pasukan petugas khas siasat kes kematian pakar patologi Hospital Lahad Datu

 



LAHAD DATU– Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat insiden kes kematian seorang Pakar Perubatan Patologi Kimia di Hospital Lahad Datu, berkuat kuasa 10 Oktober 2024.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata KKM memandang serius isu buli di tempat kerja dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental serta keselamatan pekerja kesihatan.

“Pasukan petugas khas ini berperanan untuk melaksanakan siasatan dan menganalisis input daripada siasatan insiden kematian Pakar Patologi Kimia di Lahad Datu secara khusu serta meneliti budaya kerja di Hospital Lahad Datu,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dzulkefly, pasukan petugas khas ini akan diketuai oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan bin Dollah yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor perkhidmatan awam.

Turut menganggotai pasukan ini adalah lima ahli bebas yang bukan anggota KKM, dengan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, psikiatri, patologi, dan kesihatan mental iaitu Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir, mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Dato' Dr. Haji Azman Abu Bakar, (bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan) dengan pengalamannya selama 35 tahun di KKM dan pernah menjadi Pakar Perunding bagi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO); Dato' Mohamad Fazin bin Mahmud, (pesara perkhidmatan awam dalam bidang undang-undang); Datuk Prof. Ulung Dr. Looi Lai Meng, seorang pakar patologi global yang diiktiraf sebagai antara saintis terbaik dunia, serta Profesor Dr. Chan Lai Fong (pakar psikiatri yang diiktiraf antarabangsa dalam bidang pencegahan bunuh diri).

"Antara tugas utama pasukan ini adalah mengenal pasti sama ada wujud perlakuan buli cenderung berlaku di Hospital Lahad Datu secara umum dan di Jabatan Patologi secara khusus.

Dzulkefly turut menegaskan bahawa KKM akan terus komited dalam memperbaiki persekitaran kerja supaya lebih harmoni dan kondusif.

“Kami yakin langkah ini akan membuahkan hasil dan mendapat kerjasama daripada seluruh warga KKM, selaras dengan visi untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik bagi mencapai aspirasi Malaysia MADANI,” ujar beliau.
Terbaru Lebih lama