Datuk Abdul Hakim kiri, dan Datuk Saat kanan menandatangani MoU |
KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Sendirian Berhad (KOPEKS) mengumumkan kerjasama dengan Al-Hakim Travel and Tours melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan menawarkan perkhidmatan umrah kepada anggota koperasi pada Isnin.
Langkah ini merupakan salah satu inisiatif KOPEKS untuk membantu lebih ramai anggota koperasi menunaikan ibadah umrah.
Menurut Pengerusi KOPEKS, Datuk Saat Ag Damit, kerjasama ini dilihat sebagai satu peluang besar bagi kakitangan kerajaan Sabah yang ingin menunaikan umrah namun menghadapi cabaran kewangan.
"Melalui pinjaman khas umrah yang ditawarkan, anggota boleh mendapatkan dana untuk menunaikan ibadah tersebut tanpa perlu menunggu lama untuk mengumpul wang.
"ini merupakan satu langkah penting dalam usaha koperasi untuk bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kredit kepada anggotanya, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan rohani dan pembangunan insan.
"Kami ingin membantu anggota kami mencapai impian mereka untuk menunaikan umrah tanpa halangan kewangan yang besar," kata saat dalam satu sidang media.
Selain pinjaman umrah, koperasi juga merancang untuk mengembangkan perkhidmatan kewangan lain seperti pinjaman perumahan pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengurus Al-Hakim Travel and Tours, Datuk Abdul Hakim Ghulam Hassan melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk memperluaskan perkhidmatan mereka agar lebih ramai berpeluang menunaikan ibadah umrah dengan mudah dan selesa.
"Kami sangat berterima kasih kepada KOPEKS atas peluang untuk bekerjasama dalam menyediakan perkhidmatan umrah kepada kakitangan kerajaan Sabah. Sebagai sebuah syarikat yang berpengalaman dalam menguruskan jemaah umrah, kami berhasrat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para jemaah.
"Dengan kerjasama ini, kami yakin akan dapat terus meningkatkan perkhidmatan kami dan membawa lebih ramai jemaah Sabah ke Tanah Suci," ujar Hakim.
Kerjasama ini diharap akan membawa manfaat besar kepada masyarakat Sabah, khususnya kakitangan kerajaan yang ingin menunaikan umrah sekaligus memantapkan peranan KOPEKS sebagai entiti koperasi yang menyumbang kepada kesejahteraan anggotanya.