Fotoh ihsan KPDN Sabah |
Serbuan itu dijalankan kira-kira jam 7 malam oleh sepasukan pegawai penguatkuasa dari Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah hasil daripada maklumat awam.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata hasil daripada risikan yang dijalankan mendapati aktiviti penyimpanan dan penjualan minyak masak paket bersubsidi ini dijalankan di lokasi berkenaan.
Susulan itu, katanya penyamaran dilakukan oleh pegawai penguatkuasa dengan cara menjadi pelanggan dan telah diarahkan oleh penjual untuk datang ke alamat yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp.
“Serbuan dilakukan serta merta ketika transaksi jual beli berlaku dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan minyak masak paket satu kilogram bersubsidi pelbagai jenama.
“Turut ditemukan gula pasir kasar satu kilogram yang disimpan di kawasan kaki lima rumah serta ruang tamu rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Georgie berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui minyak masak paket satu kilogram pelbagai jenama dianggarkan sebanyak 8,177 kilogram manakala gula pasir kasar satu kilogram sebanyak 48 kilogram.
“Semua minyak masak paket dan gula pasir kasar seterusnya disita bagi tujuan siasatan lanjut kerana penjaga premis yang ditemukan gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN.
“Nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM20,579.30 dan seorang penjaga premis lelaki warga tempatan berusia 27 tahun ditahan bagi tujuan membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Sementara itu, katanya KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini.
“Langkah ini supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada KPDN melalui saluran aduan yang disediakan,” katanya.