Aris (lima dari kiri) berserta rombongan pegawai KRI Tawau bersama pihak Perpustakaan Wilayah Tawau di perkarangan Perpustakaan Tawau |
TAWAU: Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau mengambil inisiatif meluaskan kerjasama dengan negeri ini menerusi bidang pendidikan demi kepentingan anak-anak Indonesia yang berada di Sabah.
Ketua Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau, Aris Heru Utomo berkata, usaha itu sangat penting memandangkan terdapatnya ramai anak-anak Indonesia yang bersekolah di negeri ini.
Katanya, sekurang-kurangnya terdapat 10 Community Learning Center (CLC) di sekitar daerah ini yang masing-masing mempunyai kira-kira 200 orang pelajar pelbagai peringkat.
“Walaupun kita mempunyai akses pendidikan dan bahan bacaan, tetapi ia sebenarnya agak terbatas dan tidak mencukupi untuk menampung jumlah pelajar yang ada.
“Justeru, kami mengambil inisiatif mewujudkan jalinan kerjasama dengan pihak Perpustakaan Wilayah Tawau supaya anak-anak Indonesia di Sabah boleh mendapatkan bahan bacaan yang lebih banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan bersama pegawai KRI Tawau ke Perpustakaan Wilayah Tawau, di sini, semalam.
Aris berharap melalui kerjasama kedua-dua pihak ini dapat membantu anak-anak Indonesia mendapatkan akses bahan bacaan termasuklah buku-buku tempatan dan luar negara.
“Saya menaruh harapan supaya anak-anak Indonesia yang belajar di Sabah dapat menjadi ahli di perpustakaan ini untuk mereka mendapatkan bahan bacaan di sini.
“Seperti yang kita ketahui buku adalah ‘jendela dunia’ dan ia sangat penting sekiranya kita mahu mengetahui dunia luar,” katanya.
Beliau turut berharap supaya jalinan kerjasama ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara KRI Tawau dengan Perpustakaan Wilayah Tawau.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Perpustakaan Wilayah Tawau kerana sudi menerima kunjungan kami ini,” katanya.
Terdahulu, Aris berkesempatan untuk memberikan sumbangan buku-buku hasil tulisannya kepada pihak Perpustakaan Wilayah Tawau.