Muhammad Aiman Zahari, 27, dipenjara 80 bulan dan denda RM20 ribu oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini. |
TAWAU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman 80 bulan penjara dan denda RM20 ribu keatas seorang anggota tentera selepas didapati bersalah memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian rakan sekerjanya, tahun lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu keatas Muhammad Aiman Zahari, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Anggota tentera berpangkat Lans Koperal dari Unit 26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu, turut diperintah menjalani hukuman penjara 11 bulan jika gagal membayar denda dan hilang kelayakan memegang lesen memandu dalam tempoh lima tahun.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman seperti dipohon peguambela tertuduh yang akan memfailkan rayuan dalam masa terdekat, namun wang jaminan berjumlah RM2,200 yang ditawarkan sebelum ini ditambah RM1,000.
Terdahulu, peguam Goldam Hamid yang mewakili tertuduh dalam mitigasinya memohon hukuman ringan kerana ia adalah kesalahan pertama selain tiada rekod jenayah lain.
Beliau berkata, anak guamnya turut cedera parah kemalangan itu dan turut merasai kesedihan keluarga mangsa kerana hubungan mereka berdua rapat,
"Dalam kes ini, anak guam tiada niat untuk mengakibatkan kecederaan atau kematian kepada sesiapapun apatah kedua-dua mereka adalah rakan kari," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya (TPR) Batrisyia Mohd Khusri dalam hujahnya memohon hukuman berat dikenakan keatas tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam selain sebagai pengajaran dan peringatan kepada tertuduh serta orang awam.
Tegasnya, akibat pemanduan berbahaya oleh tertuduh itu telah meragut nyawa mangsa yang bergelar seorang suami dan bapa kepada seorang anak lelaki yang masih kecil yang sehingga kini masih mengalami trauma dan gangguan emosi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan didenda minima RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Tertuduh kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 4 Oktober 2023 dan menjalani tiga prosiding perbicaraan membabitkan seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala tertuduh sendiri sebagai saksi pembelaan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh memandu sebuah kenderaan jenis Honda City bersama empat penumpang iaitu dua rakan sekerja dan dua wanita (orang awam) menghala ke Bandar Sri Indah (BSI) dari sebuah premis hiburan di Pusat Bandar Fajar, di sini, sekitar jam 2 pagi pada 16 April 2023.
Apabila tiba di lokasi kejadian di Batu 7 Jalan Apas, kereta dipandu tertuduh telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri dipercayai dipandu dengan laju menyebabkan mangsa, Mohd Asyraf Ibrahim, 26, yang duduk di kerusi penumpang hadapan cedera parah sebelum dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.42 malam di Hospital Tawau pada keesokan harinya.