Foto ihsan PDRM |
TAWAU- Seorang lelaki terpaksa menerima tujuh jahitan selepas cedera ditetak guna parang ketika sedang bersarapan di kaki lima rumahnya di Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas Tawau, semalam.
Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu melibatkan mangsa berusia 50 tahun cedera akibat ditetak.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak mangsa yang mengatakan bapanya diserang oleh seorang lelaki dikenali.
Katanya, susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek berusia 30 tahun, kira-kira jam 12 tengah hari.
“Mangsa dikatakan diserang oleh suspek berusia 30 tahun menggunakan senjata parang ketika dia sedang bersarapan di kaki lima rumah mereka.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima tujuh jahitan di bahagian lengan kanan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Jasmin berkata, kejadian serangan menggunakan parang itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek terbabit.
“Polis berjaya merampas sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.
“Suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.