Foto Ihsan: Polis Daerah Tawau |
TAWAU: Tindakan seorang lelaki warga asing mencuri buah kelapa sawit menggunakan pacuan empat roda membawa padah apabila ditahan di sebuah ladang di Batu 11 Jalan Membelua, di sini, awal pagi kelmarin.
Suspek berusia 30 tahun itu berjaya ditangkap oleh mandor ladang berkenaan kira-kira jam 4 pagi sebelum memaklumkan kepada majikannya dan membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes berkenaan pada jam 8 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan polis yang menjalankan tugas rondaan URB bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil maklumat diterima, suspek ditangkap ketika membawa keluar buah kelapa sawit yang dicuri di ladang berkenaan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda di ladang berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas pacuan empat roda berkenaan menemukan 55 tandan buah kelapa sawit dianggarkan bernilai RM750,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek pula tidak menemukan barang-barang yang salah dari segi undang-undang.
Jasmin berkata, pacuan empat roda beserta muatan buah kelapa sawit berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya