Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJ), IPD Tawau, berjaya menahan suspek berusia 30 tahun di perkampungan tersebut untuk membantu siasatan lanjut. |
TAWAU– Seorang lelaki ditahan setelah didakwa menumbuk kakaknya dalam insiden perselisihan faham di kediaman mereka di sebuah perkampungan di Batu 15, Jalan Apas Balung, Tawau, pada Selasa lalu.
Mangsa, seorang wanita berusia 31 tahun, yang juga merupakan kakak kepada suspek, mengalami kecederaan bengkak dan lebam di pipi akibat ditumbuk oleh adiknya.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pertengkaran bermula kerana isu peribadi dan seterusnya berlarutan hingga membawa kepada pertengkaran fizikal.
Menurut Jasmin, kira-kira jam 9.45 malam, sepasukan anggota Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJ), IPD Tawau, berjaya menahan suspek berusia 30 tahun di perkampungan tersebut untuk membantu siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum.
“Ini adalah kes yang melibatkan konflik keluarga, dan kami sedang meneliti faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian ini,” katanya.
Beliau turut menasihati masyarakat agar tidak mengambil tindakan sendiri ketika berhadapan dengan tekanan atau konflik, sebaliknya mencari bantuan atau khidmat kaunseling.
Tegasnya, masyarakat perlu lebih peka terhadap isu keganasan dalam keluarga dan segera melaporkan sebarang insiden untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
“Kejadian seperti ini mengingatkan kita tentang pentingnya menyelesaikan masalah keluarga dengan cara yang matang dan berhemah,” tambahnya.