Lelaki keluar menangkap ikan ditemui meninggal dunia

Foto ihsan Bomba


SEMPORNA – Seorang lelaki warga asing berusia 60 tahun ditemui meninggal dunia setelah dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di Sungai Ladang Pinang, Semporna, di sini pada pagi Isnin.

Mangsa, yang keluar menaiki bot pada jam 6.00 pagi pada 27 Oktober, gagal pulang, menimbulkan kebimbangan keluarganya.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 11.27 pagi dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna ke lokasi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Madzlan Sarman menjelaskan bahawa, seramai lima anggota bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian dan tiba pada jam 12.25 tengah hari.

"Pencarian awal oleh penduduk kampung berjaya menemukan bot mangsa tanpa pengemudi di lokasi kejadian.

"Pasukan penyelamat kemudian bersama-sama dengan penduduk kampung meneruskan pencarian di sekitar kawasan berkenaan.

"Pada jam 1:30 petang, mayat mangsa ditemui satu kilometer dari lokasi bot tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terbaru Lebih lama