Lelaki melecur rumah sewa terbakar di Keningau

Foto ihsan Bomba

 

KENINGAU– Tiga buah rumah musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Patikang Ulu, Keningau, di sini pagi ini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Shahrudy Delamin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.50 pagi berhubung kejadian berkenaan.

Seramai sepuluh anggota dari BBP Keningau dikerahkan ke lokasi kejadian, dan tiba pada pukul 7.00 pagi.

"Tiga buah rumah sewa jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya, rumah pertama berkeluasan 60x70 kaki, rumah kedua 40x50 kaki, dan rumah ketiga 40x60 kaki.

"Seorang lelaki dewasa terlibat dalam insiden tersebut dilaporkan mengalami cedera melecur di tangan dan telah dihantar ke Hospital Keningau oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian,” jelas Shahrudy dalam satu kenyataan media.

Operasi pemadaman melibatkan dua aliran 300 kaki dan dua pancutan sumber air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7:34 pagi dan perkembangan situasi akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Terbaru Lebih lama