KOTA KINABALU – Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah yang bersidang pada 1 dan 2 Oktober 2024 memutuskan bahawa ajaran, amalan, dan pegangan ahli jemaah Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) serta rangkaian syarikat gabungannya menyeleweng dari ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama'ah al-Asyairah dan al-Maturidiah.
Pejabat Mufti Negeri Sabah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengatakan penyelewengan tersebut melibatkan aspek akidah, syariah, akhlak, kekeluargaan, kemanusiaan, serta muamalah ekonomi, yang dilihat berpotensi membawa kepada perpecahan umat dan mengancam keselamatan negara.
Antara penyelewengan akidah yang dikenal pasti termasuk keyakinan bahawa Abuya Ashaari Mohammad akan muncul bersama Imam Mahdi sebagai pembantu di akhir zaman, serta amalan bertabarruk yang menyimpang dari syarak.
“Seperti bertabarruk dengan apa-apa yang digunakan oleh pemimpin GISB antaranya makan dan minum air basuhan tangan, rendaman gigi, janggut dan lain-lain," katanya.
Penyelewangan daripada sudut syariah, jemaah GISBH didapati mendakwa solat Jumaat tidak wajib kerana belum tertegak kerajaan Imam Mahdi, serta mengamalkan solat Jamak Qasar secara berterusan dengan alasan mereka berada dalam perjuangan fisabilillah.
Selain itu, terdapat penyalahgunaan dalam aspek muamalah ekonomi, termasuk eksploitasi ahli yang bekerja tanpa gaji serta penggunaan rumah amal untuk mendapatkan sumbangan secara tidak sah dari kerajaan dan orang ramai.
Majlis Fatwa Sabah menyeru agar semua ahli jemaah GISBH dan orang Islam yang terlibat dengan ajaran ini segera bertaubat dan meninggalkan fahaman yang menyeleweng tersebut.