Masyarakat Islam diseru amalkan cara hidup berpandukan ajaran agama

 

Datuk Nizam Abu Bakar menyerahkan replika cek kepada Tokoh Maulidur Rasul Perimgkat Perbandaran Tawau kepada Hj Marsus 


TAWAU: Masyarakat Islam di daerah ini diminta supaya mengamalkan cara hidup yang dianjurkan oleh agama menerusi ajaran al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad S.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Islam bukan sekadar sistem kepercayaan atau akidah tetapi ia juga merupakan suatu cara hidup.

Katanya, sebagai sebuah agama yang lengkap, Islam memberikan panduan dalam segala hal di dunia termasuklah dalam mentadbir negara dan ekonomi.

“Ajaran Islam yang sekian lama diamalkan di negara ini telah mengubah cara hidup masyarakat menjadi lebih baik dari semua segi.

“Jesteru, sekiranya umat Islam di negeri ini terus mengikuti jalan yang dibawa oleh Rasulullah, sudah pasti kita semua mendapat kejayaan dalam apa sahaja usaha yang dilakukan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul SAW peringkat Perbandaran Tawau, di sini hari ini.

Majlis ini telah menghimpunkan kira-kira 10,000 umat Islam di daerah ini dan sebanyak 67 pasukan telah mengambil bahagian dalam perarakan berkenaan.

Mengulas lanjut, Nizam mengharapkan penduduk berbilang kaum di daerah ini sentiasa mengamalkan ajaran agama yang betul dan menghindari pemahaman yang sesat dan meragukan.

“Saya juga mahukan penduduk di daerah ini mengekalkan Anuperpaduan yang sekian lama terjalin serta menghormati semua kaum dan agama di negeri Sabah,” katanya. 

Nizam turut menzahirkan rasa gembira kerana majlis ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan walaupun dalam keadaan cuaca hujan.

Katanya, semangat sebegini yang kita mahukan kerana sikap yang ditunjukkan oleh masyarakat Tawau sememangnya menunjukkan kecintaan terhadap program-program keagamaan.

“Sebagai pemimpin di daerah ini sangat mengharapkan supaya program keagamaan kerap dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada semua masyarakat.

“Kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan dan dokongan termasuk menyediakan peruntukan terhadap penganjuran berbentuk keagamaan,” katanya.

Sementara itu, Nizam mengucapkan syabas dan tahniah kepada Haji Marsus Wahid kerana dipilih sebagai penerima Tokoh Maulidur Rasul peringkat Perbandaran Tawau tahun ini.

“Pemilihan Haji Marsus sangat bertepatan kerana banyak sumbangan yang beliau telah berikan terhadap usaha dakwah di sini.

“Beliau merupakan bekas imam di Masjid Daerah Tawau dan anugerah tokoh maulidur rasul ini adalah satu penghargaan terhadap tugasnya mengembangkan ajaran Islam di daerah ini,” katanya.

Terdahulu, majlis turut diserikan dengan acara ceramah dan persembahan daripada pendakwah Indonesia Ustaz Derry Sulaiman.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Aris Heru Utomo; Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Mohd Shoffian Mohd Said dan Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin.

Terbaru Lebih lama