TAWAU: Mayat seorang lelaki warga emas ditemui terapung di sungai Kampung Iban Merotai, di sini, petang tadi.
Mayat, Tikung Anak Guma berusia 71 tahun itu ditemui terapung oleh orang awam kira-kira jam 4 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari pihak polis pada jam 4.43 petang untuk mengangkat mangsa di sungai tersebut.
Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mengangkat mangsa terbabit.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mayat seorang lelaki tempatan terapung di sungai dan operasi terus dijalankan.
“Pasukan bomba menggunakan tali dan stretcher untuk mengangkat mayat mangsa terbabit,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Jemishin berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum dibawa ke Hospital Tawau.
“Operasi ditamatkan pada jam 5.45 petang selepas memastikan lokasi kejadian selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisoner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Mangsa kini telah dihantar ke Hospital Tawau untuk tindakan selanjutnya dan proses bedah siasat masih belum dijalankan.
“Setakat ini tidak disyaki terbabit dalam sebarang unsur-unsur kenayah atau khianat dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya.