Mayat remaja lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap

Foto ihsan PDRM



LAHAD DATU: Mayat seorang lelaki ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan tertiarap di Kampung Lok Bangga, Tungku, di sini semalam.

Mayat Nasir Abdu Hadi,17, ditemui oleh penduduk kampung di kawasan berkenaan sebelum menghubungi panggilan MERS 999.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.40 petang.

“Sepasukan pegawai dan anggota polis bersama pegawai perubatan digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Pemeriksaan awal pada badan mayat dan sekitar lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa adalah warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut laporan mati mengejut (SDR).

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di bahagian kepala disyaki terhentak benda keras kerana kemalangan,” katanya.

Dzulbaharin menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes untuk membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Penolong Ketua Balai, Balai Polis Tungku Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di talian 017-8293359,” katanya.
Terbaru Lebih lama