Pekerja ladang dikhuatiri maut disambar buaya ketika memancing

 Anggota Bomba menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat mangsa di Sungai berhampiran Ladang Palm Rides, di sini, petang kelmarin.

KALABAKAN :  Seorang pekerja ladang dikhuatiri maut selepas disambar buaya ketika sedang memancing bersama rakannya di sungai berhampiran Ladang Palm Rides, di sini, petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.24 malam sebelum sepasukan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 105 kilometer untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, rakan yang juga saksi kejadian mendakwa melihat mangsa disambar buaya semasa mereka menjalankan aktiviti memancing di sungai itu.

"Operasi SAR hari kedua telah dimulakan pada jam 8 pagi, bersama agensi penyelamat lain dengan radius pencarian meliputi sejauh 3.2 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat dibaham buaya.

"Setakat petang semalam mangsa yang berumur 36 tahun masih belum berjaya dijumpai sehingga operasi pencarian terpaksa ditangguhkanp pada 7.55 malam dan akan disambung semula pagi ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya lagi, selain anggota polis, operasi SAR turut membabitkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merotai dan PBS Kalabakan, Jabatan Hidupan Liar (JHL), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat.





Terbaru Lebih lama