Kemalangan mengakibatkan penunggang motosikal maut di Batu 3, Jalan Tawau-Kalabakan |
TAWAU: Polis mendapati pemandu bas sekolah yang terbabit dalam kemalangan hingga mengakibatkan penunggang motosikal maut di Batu 3, Jalan Tawau-Kalabakan, semalam, positif dadah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa berusia 19 tahun itu terperosok di bawah bas sekolah berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, hasil ujian yang dijalankan mendapati suspek berusia 37 tahun itu berada di bawah pengaruh dadah, selain tiada lesen memandu.
“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Jasmin berkata, hasil siasatan awal, bas sekolah berkenaan bergerak dari arah Kampung Kapilit menuju ke Kalabakan, kira-kira jam 2 petang.
“Apabila melalui jalan berselekoh, bas sekolah berkenaan bertembung dengan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan.
“Mangsa terperosok di bawah bas berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya.
Jasmin meminta orang awam yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan ke pejabat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membantu siasatan,” katanya.