Foto ihsan bomba |
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut, manakala dua cedera dalam nahas melibatkan kenderaan jenis Proton Saga Aeroback dan Perodua Viva yang bertembung di Jejambat Jalan Tanjung Aru, Kota Kinabalu, di sini, pada malam Ahad.
Dalam kejadian kira-kira 7.00 malam tadi, pemandu Proton Saga Aeroback, Armada Said, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.08 malam.
Beliau berkata, sepasukan sembilan anggota bersama jentera dari BBP Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi.
"Menurut laporan awal, terdapat tiga orang mangsa terlibat berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba.
"Pemandu Perodua Viva yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital oleh orang awam manakala penumpang yang berada di Proton Saga Aeroback dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS," katanya dalam satu kenyataan.
Ordine berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.