Penagih dadah sanggup bergelut elak ditahan Polis



Suspek warga asing berusia 30 tahun itu ditahan bersama dadah jenis syabu oleh sepasukan anggota dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan dan PPK Kinabutan, kira-kira jam 3 petang.


TAWAU: Polis terpaksa bergelut sebelum berjaya menangkap seorang penagih dadah yang bertindak agresif ketika diperiksa dalam kejadian di Kampung Titingan, di sini semalam.

Suspek warga asing berusia 30 tahun itu ditahan bersama dadah jenis syabu oleh sepasukan anggota dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan dan PPK Kinabutan, kira-kira jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan kampung berkenaan.

Katanya, anggota polis yang bertugas di lokasi berkenaan bertindak menahan suspek untuk pemeriksaan dokumentasi dan barang yang dibawa.

“Bagaimanapun, suspek nekad bertindak agresif dan cuba melarikan diri dari polis yang menjalankan pemeriksaan, namun berjaya ditangkap semula selepas berlaku pergelutan. 

“Hasil pemeriksaan, pihak Polis menemui satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih di syaki dadah jenis syabu seberat 0.18 gram,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek turut positif dadah jenis syabu.

“Suspek terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jasmin berkata, polis bersama agensi penguatkuasaan lain ketika ini dalam usaha mengesan rangkaian pengedaran dan penagih dadah di daerah ini.

“Ia adalah usaha berterusan dilakukan pihak polis bagi memutuskan rantaian bekalan sekali gus membendung gejala penagihan dadah di daerah ini. 

“Justeru, saya ingin mengingatkan masyarakat bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan sebarang jenis dadah adalah satu kesalahan berat di sisi undang-undang di negara ini,” katanya.




Terbaru Lebih lama