Tertuduh, Mohd Shah, 36, memeluk isteri sebaik dibawa keluar dari bilik bicara, pada prosiding di Mahkamah Tinggi, di Tawau. |
TAWAU - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan di Mahkamah Tinggi pada Rabu kerana mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1380 gram, tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan selepas tertuduh, Mohd Shah, 36, didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula tarikh tangkapan iaitu pada 3 Julai 2023 dan mengarahkan tertuduh yang juga pemegang dokumen IMM13 dan tidak mempunyai pekerjaan itu disebat sebanyak 12 kali sebatan.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didapati mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 1380 gram di Dataran Lepa, Semporna, kira-kira jam 7 malam, pada 3 Julai tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, dan hendaklah jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Sepanjang tiga hari perbicaraan berlangsung, seramai lapan saksi pendakwaan tampil memberi keterangan manakala pembelaan hanya memanggil tertuduh sebagai saksi yang bermula 30 September lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Abdul Karim.
Nur Nisla memohon kepada mahkamah supaya hukuman berat dikenakan keatas tertuduh dengan alasan kesalahan dadah merupakan kes serius dan musuh nombor satu negara.
Tegasnya, hukuman yang berat akan memberi mesej yang jelas kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.
Sementara itu, sebaik di bawa keluar dari bilik bicara mahkamah tertuduh dilihat tidak dapat menahan sebak apabila diberi peluang bertemu ahli keluarga dan sempat memeluk isteri, ibu serta anak lelakinya yang turut hadir pada prosiding itu.