Foto ihsan bomba |
TENOM: Seorang lelaki maut selepas motorsikal Yamaha LC135 yang ditunggangnya bertembung dengan dua kenderaan lain dalam satu kemalangan di Jalan Kemabong berhampiran Restoran Yun Lee, Tenom, di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6:28 petang dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.
“Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan, iaitu sebuah Proton Iswara, Perodua Bezza dan sebuah motrosikal jenis Yamaha LC135. Penunggang motosikal, Amir Mustafa, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pasukan bomba bersama orang awam bertindak mengangkat kenderaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 7:01 petang setelah pasukan memastikan tiada bahaya lain di kawasan kejadian.