Perpaduan dalam GRS kekal kukuh – Joniston

Datuk Joniston Bangkuai

KOTA KINABALU- Perpaduan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal kukuh, dengan pengerusinya, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kerap bertemu dengan pemimpin parti komponen.

Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata pertemuan ini bukan sahaja membincangkan hal-hal berkaitan negeri tetapi juga menumpukan kepada kepada isu parti, yang mencerminkan perpaduan yang kukuh dalam gabungan tersebut.

Joniston mengulas satu laporan yang mendakwa Parti Bersatu Sabah (PBS) berharap dapat bekerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Air (STAR) dan pembangkang Warisan untuk pilihan raya negeri akan datang.

Beliau menolak dakwaan itu sebagai satu khabar angin yang tidak berasas dan bertujuan mahu merosakkan perpaduan dalam GRS.

“Apa yang dilaporkan hanyalah spekulasi yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat jahat untuk memecahbelahkan perpaduan yang kukuh dalam GRS,” katanya.

Tambahnya, perlu diingat bahawa Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam sudah memberikan kenyataan bahawa parti mereka masing-masing sangat komited terhadap GRS.

Kenyataan oleh kedua-dua pemimpin itu sepatutnya menghentikan sebarang khabar angin dan spekulasi yang jelas bertujuan untuk mewujudkan ketidakharmonian dan perpecahan dalam GRS.

“Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Bersama (JLC) PBS-STAR baru-baru ini, kedua-dua parti turut menekankan keperluan untuk menyelaraskan usaha bagi mengukuhkan pengaruh masing-masing dan kehadiran GRS di seluruh Sabah menjelang pilihan raya negeri,” katanya dalan satu kenyataan.

Joniston yang juga ketua penerangan PBS berkata, PBS-STAR JLC ditubuhkan selepas kedua-dua parti yang masing-masing memegang tujuh dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri memeterai perjanjian kerjasama.

Sebagai ahli komponen kedua terbesar dalam GRS, Joniston berkata, PBS akan berada di barisan hadapan untuk memastikan kemenangan meyakinkan untuk GRS dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak terpedaya dengan propaganda politik dan menyatakan bahawa mereka (pembangkang) iri hati dengan kekuatan GRS yang semakin meningkat akan terus menyebarkan pembohongan dan dakwaan tidak berasas terhadap kerajaan GRS-PH Plus.
Terbaru Lebih lama