Pesara kerajaan tidak mengaku terima suapan

Tertuduh, Abdul Manan Usman, 60, tidak mengaku terima rasuah RM16,000 ketika hadir pada prosiding di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini.




TAWAU : Seorang pesara kerajaan yang juga bekas kakitangan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Daerah Tawau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini, atas empat pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM16,000 tiga tahun lalu.

Abdul Manan Usman, 60, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut kesemua pertuduhan itu, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pembantu Operasi N11, di Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Tawau, didakwa menerima wang tunai secara berperingkat keseluruhan berjumlah RM16,000 daripada dua lelaki masing-masing berumur, 66 dan 36 tahun tanpa balasan.

Tertuduh dalam pengetahuannya didakwa mengetahui bahawa kedua-dua lelaki terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di JTU Tawau.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK) yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di TB5396 Lorong 4, Taman Victoria Jalan Kuhara, dekat sini antara 30 Oktober hingga 22 November 2021.

Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Norsham Saharom mencadangkan jaminan RM10,000 untuk semua pertuduhan berserta syarat tambahan antaranya dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM sekali dalam tempoh dua bulan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 dengan deposit RM2,000 kepada Mahkamah bersama seorang penjamin tempatan selain syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

12 Disember depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.
Terbaru Lebih lama