PH Sabah mahu autonomi tentukan rakan kerjasama untuk PRN Sabah

Ewon mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah perlu memilih rakan kerjasama yang mempunyai asas perjuangan yang sama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata bahawa dalam hal ini, PH Sabah perlu diberi autonomi untuk menentukan pihak mana dan bentuk kerjasama dengan mana-mana parti yang sesuai dengan perkembangan politik semasa.

“Belum ada sebarang kata putus berkaitan kerjasama PH dengan mana-mana parti buat masa ini dalam menghadapi PRN Sabah akan datang.

“PH Sabah perlu memilih rakan yang mempunyai asas perjuangan yang sama, misalnya dalam memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menuntut satu pertiga bilangan kerusi di Dewan Rakyat, dan tuntutan pemberian hasil 40 peratus,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Perdana Menteri, yang menyatakan bahawa BN dan PH telah memuktamadkan kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah yang dijangka berlangsung tahun depan.

Setakat ini, Ewon berkata majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) belum lagi membincangkan secara formal kerjasama antara mana-mana parti untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Terbaru Lebih lama