Polis tahan lelaki cuba larikan diri dari sekatan jalan raya


 
TAWAU: Polis mengesahkan video tular yang memaparkan seorang lelaki cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya sehingga menyebabkan anggota polis mengacukan pistol ke arah suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian itu berlaku semalam kira-kira jam 10.30 pagi di Jalan Utara berhampiran Sekolah Menengah Islamiah Tawau.

Katanya, suspek terbabit cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya yang dilaksanakan oleh polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

“Saya mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat semalam oleh seorang anggota polis yang bertugas di Bahagian Trafik IPD Tawau.

“Polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen Kanun Keseksaan dan Seksyen 26(2) Akta Polis 1967,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, suspek berusia 35 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan polis juga masih menyiasat sama ada lelaki terbabit warga asing ataupun mempunyai dokumen surat beranak.

“Soal siasat suspek masih dijalankan dan hasil siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, tular dua video berdurasi tujuh dan 14 saat yang memamparkan seorang lelaki dikejar oleh anggota polis trafik sehingga terpaksa diacukan pistol.
Terbaru Lebih lama