Lelaki ditahan kes pecah rumah, periuk antara barang rampasan

 

 Foto Ihsan Polis Tawau

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing di Jalan Bunga Raya, di sini, semalam kerana disyaki terbabit dengan kes pecah rumah.

Suspek berusia 24 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang menjalankan rondaan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum ini pihaknya menerima satu laporan kes pecah rumah di Taman Lim Piang Kong, pada jam 11.50 pagi.  

Katanya, anggota polis MVP dikerah ke lokasi untuk mendapatkan maklumat mengenai kejadian itu dan mangsa mengatakan suspek melarikan diri dengan membawa barang yang dicuri.

“Dengan bantuan dua lagi unit MPV, polis cuba mengesan dan terserempak dengan suspek di Jalan Bunga Raya, sambil menyorong sebuah kereta sorong dengan muatan beberapa guni.

“Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri serta bertindak agresif namun berjaya ditahan pasukan polis,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Jasmin berkata, hasil pemeriksaan di dalam guni plastik yang dibawa suspek, polis menemui periuk pengukus dan beberapa peralatan dapur yang disyaki dicuri.

“Suspek ditahan bersama barang rampasan dan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terbaru Lebih lama