‘Pusher’ dadah dicekup bersama syabu

Foto ihsan Polis Tawau


TAWAU: Seorang ‘pusher’ atau pengedar dadah kecil-kecilan dicekup dalam satu serbuan di sebuah kawasan ladang di KM42 Jalan Apas-Semporna, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan pengedaran dadah di kawasan ladang berkenaan.

Katanya, susulan itu, sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Bandar Sri Indah (BSI) menjalankan serbuan di lokasi tersebut kira-kira jam 2 petang.

“Setibanya di lokasi itu, polis terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang tersebut dan terus bertindak menahan suspek.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 43 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan aktif menjalankan pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Jasmin berkata, polis menenui 26 paket plastik lutsinar berlainan saiz yang mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 7.24 gram di dalam beg hitam yang dipakai oleh suspek.

“Suspek itu dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM800 itu juga turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


 

Terbaru Lebih lama